Burqa bakal diharamkan di Sepanyol


MADRID 27 Mei - Sebuah bandar di timur laut Sepanyol, Lerida bakal mengundi esok bagi mengharamkan pemakaian burqa di bangunan perbandarannya.



Jurucakap pejabat Datuk Bandar semalam berkata, satu cadangan telah dibuat dan majoriti golongan sosialis mendesak pengharaman pemakaian burqa di bangunan-bangunan perbandaran.

Pegawai itu berkata, bandar tersebut juga telah meminta perkhidmatan guamannya supaya meneliti kemungkinan untuk mengharamkan pakaian berkenaan di semua kawasan awam dengan menyatakan ia dibuat atas alasan hak asasi wanita.

"Kami tidak boleh mengawal pemakaian burqa di jalan raya, tetapi kami boleh berbuat demikian di bangunan-bangunan perbandaran," jelasnya.

Hanya segelintir wanita memakai burqa di Lerida, sebuah bandar di wilayah Catalonia yang mempunyai 140,000 penduduk, di mana satu perlima daripadanya terdiri daripada pendatang asing termasuk dari Afrika Utara.

Pakaian berkenaan mencetuskan perdebatan hangat di kebanyakan negara Eropah, dengan Belgium bulan lalu menyokong satu draf undang-undang mengharamkan burqa di tempat-tempat awam termasuk di jalan-jalan raya, satu tindakan pertama di Eropah.

Teks undang-undang itu perlu diterima oleh Senat sebelum boleh dikuatkuasakan.

Kabinet Perancis juga telah meluluskan satu draf undang-undang untuk mengharamkan pemakaian purdah di tempat awam, sekali gus membuka jalan supaya teks berkenaan boleh dikemukakan ke Parlimen Julai ini. - AFP


0 comments:

 

Tinggalkan Komen Kat Sini

My Blog List